Friday, December 31, 2010

Thursday, December 23, 2010

Analoque, Lambang Sari 19 Disember 2010

Lazimnya sesiapa yang mengenali Butterfingers pasti terus mengikuti perkembangan terbaru kumpulan kugiran ini, lewat tahun 2000 mereka mula menggunakan bahasa melayu dalam lagu mereka dengan album "Selamat Tinggal Dunia". Album ini banyak membantu saya melalui hari-hari hujan di kota Metropolitan, turun bas pasti ditemani lagu-lagu seperti 'Kabus Ribut', 'Cuai',' Taman Tasik Perdana' dan 'Selamat Tinggal Dunia'. Kemudian mereka meneruskan dengan album Kembali. Tahun 2008 mereka beraksi buat kali terakhirnya di Lambang Sari bersama Emmet Roslan sebagai Butterfingers.

Barangkali Loque terlalu banyak idea sehingga dia melahirkan satu band baru dengan idea-ideanya yang begitu eksperimental di mana mungkin tidak sesuai untuk element Butterfingers. Konsert Akustik ini agak unik dan mempunyai temanya yang tersendiri, mungkin boleh diketegorikan sebagai indie atau kontemporari atau muzik akan datang. Biasalahkan kita kan suka mengkategorikan orang lain. Percayalah apa yang Loque cuba buat pasti tidak dapat diterima pelbagai lapisan mahupun yang tua atau muda, yang dulu atau sekarang.

Malam ini juga bertambah dua koleksi t-shirt saya.

18 Disember 2010

Dari awal pagi saya dan rakan seperjuangan saya ke BSLN melihat pameran BMS 2010 dan membeli buku, kemudian malam kami ke Pameran “Taman Syifa'' abang Abu Bakar Idris. Saya mengenali beliau melalui editor saya dan pernah juga ke rumahnya yang juga merupakan jalan pergi balik saya ke KL.

Di sebalik hura-hara bandar Mertopolitan ini Abang Bakar mencoret keistimewaan herba di atas canvas dengan warna yang minimal serta lembap bagaikan di awal pagi yang dingin ramai yang tidak bangun subuh untuk menikmati keindahan yang dirasai oleh abang Bakar. Abang Bakar pernah sakit teruk, agak lama juga kata editor saya, tidak dapat dinafikan subject matter abang Bakar sangat simple dan sering kelihatan seperti lidah buaya, sirih, susu kambing dan bermacam-macam lagi jenis tumbuhan. Tulisan kurator U-Wei Haji Saari sangat menarik dan menyelusuk jiwa saya kerana secara tidak langsung U-Wei menceritakan sebahagian lain karakter abang Bakar yang tidak dketahui oleh ramai."Garis itu Zikir” itu kata abang Bakar dan sebelum berkarya dia akan solat sunat dua rakaat. Masha Allah. Membaca tulisan Rahimidin Zahari pula membuka minda kita di sebalik subject matter yang dipilih, segala penjelasan diberi dengan rapi dan teliti juga diselitkan racun sesekali, sesiapa yang terasa racun akan rasa racunlah tetapi sesiapa yang terasa madu akan rasa madulah, tetapi berhati-hati dengan tuan yang empunya.

Malam ini dinding dan lantai-lantai ini menjadi saksi bahawa hasil coretan abang Bakar berjaya membukti keunikanya dalam aliran seni lukis yang sibuk cuba menjadi orang lain. Semoga saya tidak terjerat dalam perjalanan ini. Amin


























































































Janda Baik 23 Nov 2010

Saya dipelawa untuk menyertai acara bersuka-ria atau sessi merapatkan silaturahim bersama pelajar kelas 1A oleh guru tingkatanya. Walaupun ketika itu saya agak sibuk dengan karya video, tetapi saya tetap menyertai acara ini kerana setiap minggu saya menanti untuk mengajar kelas ini.

Pelajar-pelajarnya bijak, mendengar kata dan yang paling penting menghormati cikgu, rata-rata mindset pelajar kelas ini masih mentah seperti “kanak-kanak Ribena” tetapi mereka comel sehingga saya teringin mempunyai anak seperti mereka.

Aktiviti kami seperti berjalan menutup diikat mata, "Police and Thief " dan mencipta lukisan dengan alam sekeliling. Walaupun agak penat dan lapar tetapi saya dan rakan-rakan saya sangat seronok bersama mereka dan saya juga agak rindu pada mereka ketika cuti sekolah ini.















































Monday, December 20, 2010

17 Disember 2010

Cuti sekolah ini saya menyibukkan diri dengan menyiapkan 2 buah majalah yang tertangguh. Rutin saya menghadap komputer sehingga mata saya melihat font bergerak sendiri dalam perisian design.

Setelah menyelesaikan 2 buah majalah tersebut saya meneruskan perancangan yang agak lama juga ditunda, saya cuba menyiapkan video saya yang agak lama terbiar. Kali ini saya mendapati segala kelemahan saya pada karya lakaran awal yang sememangnya agak lari dengan makna dan isi sebenar yang ingin disampaikan.

Selepas solat jumaat kami ke lokasi penggambaran dan lokasi yang ingin kami gunakan telah dipagar jadi kami terpaksa pusing mencari lokasi lain. Minda saya agak penat tetapi semangat saya semakin kuat untuk menyiapkan video ini apabila mendapat sokongan padu dari pelakon, penasihat, rakan bicara dan juga rakan kritik saya. Lakonanya memang simple tetapi dia berjaya menyampaikan mesej tersirat yang ingin saya sampaikan. Ketekunan dia untuk melayan kerenah saya sangat dicemburui.

Malam saya mendapati permulaan video ini masih bermasalah dan saya terus kecewa dengan kelemahan diri sendiri. Setelah memerah otak saya berjaya mendapat sesuatu yang baru semoga idea ini berkesan.

Mendengar:
A Perfect Circle: Weak And Powerless
Deftones : Passenger











































Kelas terakhir menjelang SPM


Tahun ini merupakan tahun pertama saya mengajar 2 orang pelajar SPM subjek elektif Pendidikan Seni. Apa yang pelik mereka tidak diajar perkara asas seperti asas garisan dan segala asas seni yang digunakan untuk semua aliran seni. Mereka lebih diasah pada lukisan cat air.

Sessi pertama bersama, mereka berasa pelik kemudian mereka mulai memahami segala element yang pernah digunakan dan kini mereka lebih yakin untuk menghasilkan lukisan setelah memahami segala element. Saya hanya sempat mengasah dan mengajar asas seni dan sejarah seni lukis yang selebihnya saya serahkan kepada pakar pelukis cat air En Rafie A. Rahman yang saya kenali melalui editor saya.

Melihat ketekunan 2 pelajar ini membuat saya pun teringin untuk menajamkan skill cat air, tetapi ketika itu saya sibuk dengan set-up pameran di BSLN. Semoga dua orang pelajar ini meneruskan apa yang dipelajari, dan seketika saya agak sedih terkenang zaman saya menduduki SPM, cikgu saya tidak memberi pendedahan seperti ini, dia tidak mengajak pelukis professional untuk mengajar saya, tetapi dia membiarkan saya mencari jalan sendiri. Walau bagaimana pun saya tetap berterima kasih kepada Cikgu Fakhrurrazi yang memberi tunjuk ajar dari bangku sekolah sehingga kini, terima kasih juga kepada dua orang pelajar ini, kamu berdua amat bermakna dalam sejarah hidup saya sebagai seorang pendidik, terima kasih Aishah Zehan dan Radhiah Esa dan juga En Rafie A. Rahman.











































Sunday, December 19, 2010

30 November 2010

Kita sebagai hamba yang daif dan kerdil sering dilukai,dihampai dan didusta,oleh kerana itu kadang-kala wajib bagi kita sebagai hamba untuk membuat insan lain gembira.

Hadiahnya tidak seberapa tetapi apabila melihat raut wajahnya yang begitu gembira menitikan tangsian gembira. Aku hanya mampu tumpang gembira.

Terima kasih atas segalanya kepada yang berkenaan.

Remember,remember the 30th of November.

Saturday, November 20, 2010

Review Filem Nov 2010

Saya menghabiskan hujung minggu ini menonton tiga filem biography yang bertajuk The Blind Side, The Runaways dan Nowhere Boy.

The Blind Side pengarah John Lee Hancock. Kisah Michael Oher seorang pemuda kulit hitam yang melalui trauma dalam kehidupan dan tiada tempat berlindung, kemudian dibantu oleh seorang wanita dan keluarganya. Kini Michael pemaian NFL pertama yang dinobatkan sebagai NFL draft

The Runaways pengarah Floria Sigismondi, Pada tahun 1975 seorang remaja yang bernama San Fernnando Valley menukar identitinya dan ingin dikenali sebagai Joan Jett, sebaik sahaja dia belajar bermain gitar serta minda dijajah dengan pegangan Sid Vicious ahli kumpulan Sex Pistols, dia ingin membentuk sebuah kumpulan semua wanita ala punk, kemudian dengan bantuan Kim Fowley yang mengidolakan Allan Williams yang juga berjaya membawa The Beatles ke muka dunia seklai lagi berjaya membawa kumpulan “The Runaways” dikenali seketika, Selepas melalui dilemma remaja yang melibatkan alcohol, dadah dan populariti band ini berpecah kemudia Joan Jett menubuhkan Joan Jett and The Blackhearts.Tujuan utama saya menonton file mini kerana saya peminta Floria Sigismondi, karya-karya beliau sangat membuka mata saya tetapi saya sangat hampa dengan sentuhan komersial beliau dalam filem ini.

Nowhere Boy Pengarah Sam Taylor-Wood. Filem ini cukup tragik dan sedih kita jika tidak mengenali John Lennon tetapi teruja dengan lagu-lagu ciptaanya. Kisah kehidupan awal kanak-kanak cukup ria sehingga dia bertemu semula dengan ibu kandungnya yang meniup angin rebut taufan ke dalam kehidupannya, dia yang begitu terpengaruh dengan muzik Rock N’ Roll Elvis Presley hanya bercita-cita untuk menubuhkan band yang akhirnya menjadi legenda satu dunia. Dari ini cukup memadai untuk memahami kenapa kisah hidup John Lennon begitu tragik dan kenapa dia perlu dibunuh oleh salah seorang peminat yang menanti untuk mendapatkan tanda tangan beliau di perkarangan tempat kedamaianya untuk beberapa hari. Kemudian Lennon menulis sebuah lagu bertajuk ‘Mother’, yang berbunyi;

Mother, you had me but I never had you,

I wanted you but you didn’t want me,

So I got to tell you,

Goodbye, goodbye.

Sebuah lagi biography yang bertajuk About A Son arahan AJ Schnack, dipenuhi sinematografi ambient yang mengungkap perbualan atau sessi temu bual di antara Micheal Azerrad dan Kurt Cobain.Filem ini memenangi Festival FIlem Toronto 2006. Imej-imej corotan file mini cukup mudah difahami dengan suara mendiang Kurt Cobain.

Kesemua filem ini mencerita kisah remaja atau peringkat seorang remaja meningkat ke fasa yang seterusnya dengan latar keluarga yang cukup sempurna atau terlebih sempurna yang membuat remaja tersebut berusah dengan hati seribu satu luka dan akhirnya dia dikenali seluruh dunia sebagai ahli muzik dan athelete. Soalnya adakah ini satu tauladan yang baik kepada generasi akan datang? Lirik-lirik mereka menceritakan kisah kehidupan mereka, apa yang terjadi pada mereka dan bagaimana mereka mengatasinya. Kurt Cobain mati akibat overdose, John Lennon menjadi pengasas pejuang peace, yang membuatnya diband beberapa kali dia Amerika, dan ramai lagi di antara mereka yang memeperjuangkan idealogi mereka tanpa disedari oleh remaja. Fashion, trend, dan life style mereka ditiru dan dijadikan satu term ‘cool’ untuk dikuti. Mampukan kehidupan silam mereka mengubat dan mendidik remaja sekarang?

Bacala sajak Ke Makam Bonda oleh Usman Awang dan hayatilah apa yang telah terjadi kepada remaja zaman sekarang.







































Friday, November 19, 2010

Universiti Teknologi Petronas 25 Oktober 2010

Selepas pelajar PMR selesai menduduki peperiksaan, pihak sekolah merancangan beberapa aktiviti untuk menunjukan bahawa beberapa individu yang tiada kerja kelihatan sibuk sepanjang waktu. Jadi kami (guru-guru bujang) diminta melontarkan idea sekaligus mangambil tanggungjawab untuk mnejayakan aktiviti tersebut.

Lantar saya mencadangkan untuk membawa pelajar ini ke universiti terdekat kerana rakan saya sedang sibuk dengan diploma show, mungki berkesempatan untuk melawatnya dan berkongsi bersama pelajar-pelajar yang bakal memilih jurusan mereka tahun hadapan.

Antara aktivit yang dicadangkan adalah Futsal dan netball bersama guru, masak-masak yang ditentang oleh salah seorang guru kerana menu masakan tidak memadai, lawatan ke U.T.P dan homestay.

Memadangkan hubungan saya bersama pelajar lelaki kelas ini kurang rapat maka saya tidak mengikuti kesemua program ini. Pagi isnin itu kami bertolak berbekalkan roti chocolate dan air kotak. Seorang guru memasang file Adnan Sempit dengan tujuan untuk menghiburkan pemandu bas yang sememangnya mengantuk dan juga cuba menghiburkan pelajar-pelajar yang ada di antara mereka yang dipaksa untuk ke rombongan tersebut. Dengan usaha guru ini juga berjaya menyuruh separuh pelajar lelaki yang lebih gemar untuk tidur di rumah turut hadir untuk menyertai rombongan ini.

Kami tiba agak lewat dan taklimat dari Tuan P.R sememangnya professional tetapi tidak beberapa difahami oleh pelajar-pelajar. Taklimatnya ke arah bayaran dan bagaimana untuk menyertai Universiti ini tanpa menjelaskan dengan lebih terperinci walau disoal beberapa kali, kunjungan sekolah menengah maka perlulah di tune down ke tahap mereka. Kewujudan tempat ini bagaikan berada di universe yang lain di tengah-tengah Sri Iskandar, rekaan perpustakaan dilihamkan daripada pelantar minyak yang cukup unik dan gementar untuk menlangkah. Susasan di sini cukup sesuai untuk fokus dan belajar, kemudian kami ke masjid separuh terapung yang cukup sejuk kerana di bawahnya ada air tasik.

Beberapa insiden yang tidak sepatutnya berlaku telah menyentuh beberapa individu sehingga beberapa tuduhan dibuat tanpa soal siasat walaupun individu tersebut agar keterlaluan, semoga mereka insaf.


Wednesday, November 17, 2010

Coheed And Cambria 1 Ogos 2010

The Amory Wars merupakan jalan cerita dan juga merupakan fokus muzik Coheed And Cambira, setiap album mewakili satu bab daripada empat bahagian sains fiksyen awalnya diriwayatkan oleh lirik Claudio Sanchez iaitu penyanyi dan pemain gitar kumpulan ini.

Apa yang menarik perhatain saya untuk mendengar muzik band ini adalah jalan cerita yang diolahkan dalam bentuk lirik dan muziknya cukup epik untuk menggambarkan journey setiap sequence, jadi bersama rakan-rakan yang meminati dan juga membeli kesemua komik The Amory Wars pada malam gig, kami menghayati muzik mereka yang agak susah untuk di mosh dan head banging.

Mereka kelihatan penat tetapi mereka sempat memainkan kesemua lagi yang dinanti-nantikan, selepas gig ini ada beberapa orang yang jatuh sakit mungkin kerana asap perokok yang tidak faham bahasa.
Balang
(Selepas Shooting)

Alhamdulliah, setelah melalui beberapa peringkat penggambaran “Balang”. Mulanya di taman permainan Restoran Bunga Tanjung bersama Khairul, kemudian dibantu oleh Fikri di beberapa lokasi berlainan seperti di halaman rumah mak dude dan akhirnya kami memilih Sri Iskandar sebagai lokasi akhir.

Setiap lokasi memberi makna yang berbeza kepada balang, jika balang tersebut di letak di halaman rumah di Kuala Lumpur, balang kelihatan sangat plain dan simple dan apabila balang di letak di latar belakang yang berbeza balang akan memberi makna yang berbeza, sebagai contoh jika balang di letak di kawasan pembinaan atau pun di taman permainan.

Apa yang ingin disampaikan akan berubah makna apabila latar belakang berlainan, subjek di sini adalah balang, apa yang telah terjadi kepada balang itu dan dilalui bersama seorang watak perempuan melayu yang kelihatan putus asa. Semuanya lengkap tetapi saya meletakkan makna kepada objek tersebut tanpa membiarkan objek tersebut berbicara sendiri.

Video balang telah pun ditanyangkan di salah satu pemeran di Pulau Pinang, tetapi pada satu petang yang lembam saya menemui sebuah kawasan yang begitu indah dan sempurna untuk menyampaikan mesej tersembunyi saya. Karektor perempuan masih dikekalkan dan kelihatan silhouette karektor sedang berjalan menuju sebuah pokok besar ditemani suara-suara angin dan awan yang lembam cukup sempuran untuk saya reshoot video balang.

Ketika ini saya sedang merangka semula jalan cerita yang lebih sesuai untuk menggambarkan balang dan perempuan tersebut, perlu memberi nyawa kepada balang. Mujur saya dapat menilai dan memperbetulkan kelemahan saya dengan bantuan beberapa individu yang tidak jelek mendengar saya membebel.


Saturday, November 13, 2010

Sequence

Semakin hampir untuk dipamerkan, keadaan semakin serabai, waktu semakin singkat.

Maaf hanya ini yang mampu dipaparkan.

Tiada suara, tiada rasa, tiada bau....

Jutaan terima kasih kepada semua yang terus membantu

Wednesday, October 27, 2010

Menanda Kertas II

Selesai menanda kertas soalan, selesai memberi markah dan segala urusan berkenaan dengan kertas peperiksaan. Pelajar pun dah ramai yang tidak hadir ke sekolah.

Dua,tiga minggu yang lepas saya terikat dengan satu perjanjian untuk bangun lewat dan lewat untuk memulakan segala aktiviti harian. Tindak balasnya agak membebankan dan segala aktiviti harian tergendala.

Ujikaji tindak balas masih berjalan, sehingga terpaksa menyimpan jambang dan misai. Maka terusla menanti dan sibuk melihat keputusan tindak balas tersebut.

Thursday, October 14, 2010

Belajar Menerima

Saat kita menyedari dan mengenali diri kita,kita akan mula mengetahui kehebatan dan kelemahan diri sendiri. Ada di antara kita yang berani mengaku dengan kelemahan diri dan ada juga yang selalu melindungi kelemahan ini agar tidak nampak keburukan sendiri.

Barangkali mungkin kerana dia takut dia akan dipandang rendah, dipandang hina atau mungkin juga dia tidak pandai menghadapinya dan ibu bapanya juga tidak peka dengan sikap lemah ini.

Tidak perlulah kita berasa bangga atas kelebihan kita kerana semuanya datang dari pencipta. Dia yang empunya segala-galanya tiada seorang pun dapat menandinginya walau sehebat,sekuat,sekaya atau sepintar mana sekali pun jika Allah tidak memberi rahmatnya maka orang itu tidak punya apa pun.

Manusia diberi akal untuk berfikir, jika akalnya memikirkan benda yang tidak elok maka akalnya menyuruhnya untuk berkelakuaan buruk. Berbanding dengan anjing yang pandai menyalak, mengikut pengalaman saya apabila kita menaiki motor anjing tidak kejar, tetapi jika kita menaiki basikal anjing berani kejar. Lihat bagaimana akal anjing berfungsi.

Semakin jauh saya berjalan semakin ramai saya mengenali dan semakin luas permandangan saya, tetapi saya agak degil untuk menerima idealogi dan cerita orang lain kerana mungkin bagi saya mereka ini tidak unik, saya rajin mendengar cerita, celoteh dan kutukan dari pelbagai pihak dan saya mampu menerima kerana akal saya berkata “ada betulnya”, tetapi kelemahan saya adalah saya sangat cemburu dengan sahabat saya seorang ini kerana dia berada di landasan yang betul, di landasan yang saya ingini tetapi haluannya seakan tidak jelas dan saya sangat sukar menerimanya kerana bagi saya dia hanya sekadar mengejar sesuatu yang bukan diminatinya. Tetapi siapa saya untuk menilai dia sedangkan Allah yang menetapkan segalanya. Jadi saya bernekad untuk menerima sahabat saya ini, malah raya keempat saya berjumpa dengan dia setelah hampir 4 tahun tidak berjumpa.

Apabila kita memberi ilmu pasti kita juga perlu menerima ilmu, dan kita hanya hamba yang menerima segalanya dari Allah.

Wednesday, October 13, 2010

Emak
Jumaat 1 Okt – 3 Okt

Dia suka kerukkan mukanya untuk menunjukkan dia sedang berfikir,emak saya seorang yang tidak berpendidikan tinggi, sekadar darjah enam malah sebenarnya dia sukar membaca dan menulis tetapi semangatnya untuk bekerja dan memastikan anak-anaknya mendapat pendidikan yang secukupnya.

Sewaktu kanak-kanak saya sering melihat emak gembira di dapur dan di mana sahaja bersama siapa sahaja.Ketika ibunya melawat mukanya merah seperti tomato dan nenek pasti berpesan kepada saya “Boy, jaga emak lalu memberi saya 5 ringgit”. Saya bersungguh untuk menjaga emak dan bernekad untuk menjadi Spider-man kerana saya tidak mahu emak ketahui yang saya akan menjaganya.

Semakin dewasa saya melihat emak semakin jarang di dapur, dia lebih gembira jika dia dihantar ke situ ke mari,lebih-lebih lagi ke kuliah keagamaan. Pada usia awal 60-an emak lebih gemar mendekatkan diri kepada pencipta. Petang Sabtu dia meminta untuk dihantar ke suatu tempat kebetulan kakak saya juga ingin keluar beraya, mereka berdua bertengkar dan saya tidak mampu buat apa melainkan solat dalam bilik secara senyap-senyap.

Petang itu,saya mengatur langkah ke Teluk Intan untuk berjumpa dengan seorang kawan yang mendekatkan saya menemui hala tuju yang sebenar. Perjalanan kali ini sangat mencabar apabila Allah menurunkan rahmatnya sebagai ujian. Ujian seperti ini tidak dapat mematahkan semangat jitu yang membara.

Sepanjang perjalanan saya teruja dengan scenary yang ditatapi, eye level visor sungguh kabur tetapi sangat indah. Tempat-tempat yang saya lalui cukup sempurna untuk menggambarkan pemikiran dan perasaan saya ketika itu, seperti filem Elizabeth Town ditemani lagu yang menjadi soundtrack kehidupan saya ketika itu.

Setiba destinasi, pakaian basah kuyup menanti dijemput dan malam itu kami mulakan proses perbincangan ilmiah. Hati saya tidak tenang kerana meninggalkan emak begitu sahaja, ada pula yang sedang seronok bersama kawannya di Johor untuk menghadiri perkahwinan sahabatnya.Kawan di sekolah sibuk mengajak beraya dan yang lain juga pasti sibuk ke open house pada hujung minggu.

Ahad saya meneruskan perjalanan setelah mendapat satu teknik baru untuk video baru, dengan harapan berhasilah kajian kali ini, saya pulang ke bandar yang penuh sesat dan sibuk semula.

































Mendengar: Foo Fighters- There Is Nothing Left to Lose

Monday, September 27, 2010

Sambutan raya Kelas
Jumaat 24 Sept

Setelah seminggu kembali mengajar dan untuk menghormati bulan Syawal sekolah meriakan sambuatan Raya mengikut kelas dan seperti biasa setiap pelajar transform ke mode “Dress to Kill!” Mereka inilah yang bersemangat wajah dengan baju raya yang berser-seri.

Madara bertukar topeng dan menerusikan misi untuk memburu kyubi.

Selepas solat jumaat saya menyerbu kelas 1A, “kita mula dari bawah” kata luqman, dan kami terus melawat kelas demi kelas. Segala makanan ada, dari roti canai sehinggala ke spaghetti.

Saya masih dibanned dari salah satu kelas yang memberi banyak makna dalam tahun ini, tetapi saya cuba membetulkan keadaan dengan menjejaki kelas itu walau disambut dengan muka yang agak tidak mengalu-alukan.

Russian Circle
Klpac 24 Sept

Makin banyak band yang tidak menggunakan khidmat penyanyi dan tidak menggunakan lirik sebagai medium utama untuk menyampaikan lagu mereka. Konsert 2 jam ini cukup menyakinkan saya untuk menulis dan menulis walaupun seorang. Dilemma saya terus bertanya “perlukah muzik?,pentingkah muzik?”

Kumpulan ini banyak riff bledding dan delay, banyak element post-rock, walaupun mereka seruis dan lebih bermain secara individu tetapi muzik mereka berjaya berdiri dengan unik seunik namanya. Apa yang perlu ditanya di sini mungkin biasa ditanya di temu ramah, apakah mesej yang ingin disampaikan dengan menggunakan element seperti ini. Apakah cerita mereka?















































































Sunday, September 26, 2010

Raya 1431

Pagi di sini sunyi, kebanyakan penghuni yang menupang di bandar telah pulang ke kampung halaman, yang tinggal hanya penghuni tetap yang sangat rindu akan ketenangan jalan raya yang lapang yang kini boleh dibaring.

Solat raya dibaniri warga asing seperti Nepal, Bangla dan Indonesia. Tahun ini saya tidak cemas kerana tidak menduduki sebarang peperiksaan. Sehari dua saya sibuk menonton animasi seni halus yang agak pening dan tidak lurus jalan penceritaanya. Kebanyakannya animasi Jepun kerana saya tidak mengemari animasi Walt Disney, Pixar dan seangakatan dengannya. Memang susah untuk menandingi animasi Jepun, jadi apa yang boleh kita buat adalah jadikan animasi mereka sebagai rujukan dan mungkin selepas ini saya akan mencari animasi Jerman pula. Tujuan utama saya untuk menghasilkan sebuah animasi pendek kerana kertas kerja saya telah diterima dan harap saya dapat menyiapkan karya tersebut.

Setiap manusia perlu lalui beberapa peringkat dalam kehidupan masing-masing yang sepatutnya membuat individu tersebut lebih matang. Seperti susunan muzik yang berubah mengikut mood, menarik atau tidak biasanya bergantung kepada penciptanya.

Kenapa saya menjadi takut untuk membuktikan dan untuk memikul tanggungjawab? Saya sedang melalui dilemma peringkat demi peringkat.

Raya keempat saya ke Tanjung Tualang dan Kebun di Malim Nawar melawat comrade saya dengan harapan untuk berdiskusi sambil beraya.

Apa yang menarik sekali adalah perjalanan kali ini yang begitu mencabar, jika saya terus melayan dilemma, saya akan terus disana,maka perlulah saya melangkah dan terus melangkah.

Salam Lebaran Semua!!!















Sunday, August 22, 2010

Catatan Ramadan 1431 Hijrah

Beberapa individu sering menegur kerana saya jarang menulis, “ingin mengetahui apa yang difikirkan dan ingin mengetahui perkembangan semasa” tambahan mereka.

Alhamdulliah kesihatan dan kisah kehidupan normal sahaja, yang membuatnya menarik pada tahun ini adalah pelajar. Idealogi dan sifat-sifat mereka membuat saya terfikir sejenak, adakah dulu saya begini? Dan ini menimbulkan pelbagai soalan dan idea untuk membuat sesuatu agar memori yang sementara ini akan terus kekal sebagai karya.

Apabila melangkah saya terfikir apa yang ingin dituliskan? Apa yang patut dituliskan? Saya sering menulis dan menguris perasaan individu yang lain, saya juga sangat takut dengan segala idealogi saya yang bakal diambil sebagai iktibar dan menjadikan idealogi tersebut sebagai panduan kehidupan mereka. Penulisan saya menghantui saya sehingga saya terasa terancam dengan idealogi sendiri.

Ketika saya menatap wajah sendiri di cermin, cukup saya kenal wajah ini walaupun rambut separuh tobek, saya hanya mampu senyum dan menukar mimik muka tanpa perasaan. Kesedaran yang sangat tinggi terhadap penyedian dunia akhirat, adakah ilmu saya mencukupi jika ini merupakan ramadan terakhir saya? Dunia ini cukup mudah menawan semua pihak, jika kita hebat dan mempunyai bakat dalam beberapa bidang kita akan disanjungi dan kita juga akan mempunyai pengaruh yang sangat kuat.

Kali kedua apabila saya menatap wajah saya pada permukaan air pula, saya melihat segala sifat-sifat hitam dan putih saya. Adakah saya semakin hampir ke arah putih atau ke arah hitam? Qarin sebelah kanan saya bersuara, “Woi, bila mau tambah pahala? Asyik macam ni je, kau seronok ke? Qarin sebelah kiri pula memberi idea untuk mencipta riff baru yang kononnya sangat sesuai untuk menggambar situasi saya ketika ini.

Percayalah apa yang kita temui ini semuanya bersifat dunia, kerana kita tidak akan dapat memahami apa yang telah ALLAH sediakan untuk kita. Ketika ini saya sangat bersyukur kerana segala niat saya masih boleh diperbetulkan dan tinggal hasilkan apa yang patut selagi mampu. Persoalan tidak perlu lagi timbul yang perlu hanya buat.

Ramadan menguji akal nafsu dan hati masing-masing? Bagaimana cara kita berbuka, kadar solat dan adakah kita semakin hampir atau jauh sesasar dari landasan menuju Yang Maha Esa, Seandainya kita sedar cepat-cepatlah membetulkan kesilapan kita.

Alangkah bagus jika setiap kali sebelum saya membuat dosa peringatan muncul dan melarang saya, seperti meninggalkan solat maghrib dan visual dosa itu terpapar di hadapan mata. Saya masih belum bersedia untuk mencari penghujung kerana segalanya sudah bermula dan saya perlu meneruskan jalan yang perlu ditujui.

Mendengar:
Bacaan Al-quran
















Wednesday, August 11, 2010

Golongan


Terdapat tiga golongan di sekolah ini, yang pertama golongan pemimpin, kedua golongan pendidik dan ketiga golongan pelajar. Saya jauh dari menjadi seorang pemimpin yang berkuasa atas ratusan nyawa yang dikawal dengan urat yang berfungsi, pendidikan memainkan peranan yang sangat mendalam dan tanggungjawab yang sangat besar, saya belum bersedia memikul tanggungjawab sebesar itu, mungkin juga isi hati saya yang begitu dahaga untuk sambung belajar saya sering meletakan diri saya sebagai seorang pelajar dan memberikan apa yang mereka inginkan.

Golongan remaje sering salah membuat keputusan kerana mereka belum lalui segala ujian dan dugaan kehidupan. Segala keputusan dibuat mengikut hawa nafsu dan atas daya ingin cuba. Rebel, ridikal dan memberontak jika tidak disokongan sering terpaku di kotak pemikiran mereka, seperti ingin mewujudkan satu sistem baru, satu sistem yang lebih bagus dari sistem yang sedia ada dan satu sistem yang mengikut kehendak remaje. Bukankan segala sistm manusia ditulis begitu?

Minda saya dapat menafsir dan membetulkan fokus saya agar saya sentiasa berada di paksi yang betul. Mujur saya ada Tuan Editor yang sering memberi input dan data-data penting untuk saya pelopori dan untuk saya sedari bahawa ada banyak lagi perkara dan bidang yang tidak saya ketahui. Mujur juga saya ada sahabat yang sering memberikan kata-kata sinis untuk saya berusah mendapat apa yang dimpikan. Mujur saya mempunyai seorang ibu yang mendidik tanpa mengajar dan mujur saya ada kekasih yang sentiasa memberi sokongan padu sebelum saya tumbang.

Walau saya berada di posisi seorang pelajar saya tidak mewujudkan satu sistem baru agar remaje mengikut sistem ini dan terus akur dan yakin dengan idealogi saya. Apa yang mampu saya beritahu di sini cuma beberapa episode dalam kehidupan yang dapat dikongsi bersama. Semoga saya kembali dan terus berada di landasan yang betul, biar miskin, biar kurus, biar hitam tetapi saya mengejar da mencari “nur” yang sudah lama terpadam.

Salam Ramdan Al-mubarak!!!!

Kenal dan Mengenali

Hubungan saya sangat akrab dengan beberapa orang pelajar, sehingga saya pernah ke rumah mereka,berjumpa dan bersembang dengan ibu-bapa mereka. Di antara mereka ada yang saya dapat mengkaji latar belakang keluarga mereka dan sekaligus mudah untuk saya mendekati mereka.

Ternyata apa yang mereka inginkan bukanlah kemewahan yang disediakan oleh ibu-bapa mereka, malah jika disebut ‘anak orang kaya’ mereka akan menjawap “itu ibu-bapa saya, saya tidak punyai apa-apa pun. Satu jawapan yang tulus dari hati. Apa yang mereka inginkan hanyalah perhatian yang amat sangat, gelak,menangis,bergurau senda dan mendengar segala cerita mereka.

Akan tetapi telah berlaku perang dingin di antara semua pelajar yang saya rapat, dan kemudian baik semula. Bagi saya puncanya sangat kelakar, mereka mengambil kesempatan. Setelah itu mereka akan lebih berhati-hati apabila bergaul.Ternyata di peringkat ini remaja kabur dengan segala tindakan yang mereka dibuat.

Apa yang dapat difahami membuat saya tertanya-tanya,apa yang telah saya berikan kepada mereka sehingga mereka begitu cemburu apabila saya tidak bertegur sapa dengan mereka, kerana saya tidak merasakan yang saya telah mendidik mahupun membentuk keperibadian mereka.Percayalah remeja akan rebel, ridikal dan terus memberontak untuk mendapat perhatian dan ini adalah satu putaran yang perlu dilalui oleh semua remeja.

Tuesday, August 10, 2010

MJVAX


Saya dan Chap menerima emel untuk menghantar karya untuk Malaysia-Japan Video Art Exchange. Kenapa kami dipilih? Itu bukan satu soalan untuk difikirkan, peluang begini bukan mudah dipelawa.

Setelah menghantar karya, kami pun menanti saat ditanyangkan. Sabtu kami ke Uitm,malangnya Tuan pengerusi majlis tidak hadir katanya tiada kelapangan, yang membentang dan menayangkan karya hanya artist Jepun.

Apabila hari pembukaan pula, karya yang ada di galeri semuanya karya-karya karyawan yang besar namanya, siapalah kami ni untuk turut menyertai. Jadi tidak perlulah mempersoalkan kenapa kami tidak terpilih, dan perkara begini sudah biasa, apa yang saya sedari niat sebenar untuk berkarya.






























































Monday, July 26, 2010

Penceritaan

Secara nyata yang membezakan sesama manusia adalah umur, bangsa, agama dan ilmu pengetahuan. Perbezaan ini menyedarikan bahawa kita mempunyai kelebihan dan kekurangan, kita perlu menghormati yang lebih tua dan kita perlu menghormati agama dan bangsa yang lain mahupun pengalaman serta idealogi.

Hampir dua tahun saya menghabiskan masa untuk memahami stuktur penceritaan dan gaya penceritaan untuk melancarkan struktur penceritaan saya sendiri. Bermacam pendedahan, pemerhatian dan pengalaman saya lalui, secara langsung dan tidak langsung. Sessi temu bual, melawat latihan dan juga memerhati gaya pengarahan dari teater dan filem. Dalam masa yang sama saya banyak menonton filem Amerika, Iran dan Jepun ,ternyata jelas tujuan dan sturktur penceritaan yang penuh dengan muslihat serta agenda tersendiri.

Semua ini saya pelajari dengan teliti agar stuktur penceritaan saya dapat dilancarkan agar cerita saya jelas dan mesejnya sampai dengan tepat. Oleh kerana terlalu fokus pada penceritaan saya lalai pada perkara-perkara yang lain seperti teknik, simbol, makna dan kesan efek yang banyak membantu mengukuhkan cerita tersebut. Suatu ketika dahulu saya sangat rajin dan suka menerokai kesan efek dan perisian yang terkini namun apabila saya menyedari kelemahan saya, saya mula memberi perhatian kepada yang lebih utama. Akan tetapi aspek lain pula menjadi masalah yang mengakibatkan struktur penceritaan hilang kawalan dan tidak teratur. Barangkali faktor utamanya adalah pengaruh persekitaran dan faktor pergaulan yang mengakibatkan gaya cerita saya menjadi begini. Mujur ada pihak yang menegur dan memberi tunjuk ajar agar saya kembali ke petak permulaan.

Apa yang telah disajikan selama ini untuk saya lalui sangat bermakna dan dihargai tetapi saya perlu sedar bahawa untuk memperbetulkan diri saya agar lebih fokus dan lebih banyak mengeluarkan karya,dan saya perlu berubah untuk kebaikan sendiri.

Monday, July 5, 2010

Mengajar

Setelah mengajar satu semester maka sudah tentulah penilaian awal dinilai,di mana masing-masing dapat mengenal pasti kelemahan dan kecermerlangan setiap individu. Saya mengajar bahasa melayu kelas peralihan, seramai empat orang pelajar naik ke kelas biasa untuk semester kedua, mampu atau tidak mereka bersaing dengan pelajar lain terpulang pada inisiatif dan ketabahan mereka.
Ketika hari kad laporan hanya sepasang ibu-bapa yang datang bertanya khabar berita tentang anak mereka, guru matematik dan sains terpaksa berpanas telinga dan menjawap segala persoalan. Di sini saya mula menyedari betapa tidak pentingnya subjek saya, secara tidak langsung saya mula merasakan ada banyak lagi perkara yang kurang menarik akan dilalui.
Saya tidak pernah mengidamkan hari-hari mengajar, saya sering membayangkan diri saya di atas pentas, memetik suara kehidupan ditemani sahabat-sahabat yang berkongsi darah memperjuangkan muzik kami, kemudian saya berubah arah, saya impikan satu kehidupan yang sangat minimal iaitu menjadi pereka dan makan gaji kemudian berkhawin dan terus menyara keluarga saya. Arah tuju seorang pemuzik tidak menjanjikan apa-apa di tanahair yang saya pijak, sekadar seorang pereka tidak berjaya memenuhi fitrah saya, saya terjumpa satu cahaya yang lebih menarik dan jauh untuk dikecapi di mana saya masih berusaha ke arah itu.
Pernah sekali saya teramat sangat seronok mengajar seorang budak bahasa mandarin. Bukan kerana dia dengar cakap tetapi saat di panjat atas meja dan saat dia menconteng seluar saya, dia membuat saya melihat diri saya di waktu kanak-kanak dahulu, dan kini banyak sekali perkara begitu terlintas di hadapan saya, segala watak dan perwatakan saya berterusan mempersoalkan dan mengusar pemikiran saya ke tahap saya akur dan diam kerana saya sangat memahami jiwa yang memberontak. Mereka mendapat segalanya tetapi itu bukan apa yang mereka inginkan.Rebel, ridikal, kebebasan, perhatian dan nafsu ingin mencuba membuak-buak difikiran mereka, apa akan daya teguran saya sebagai seorang guru tidak akan dilayan. Kenapa? Kerana pengajaran kita tidak membekalkan segala yang mereka perlukan.
Album art merupakan titik permulaan saya, saya selalu berdiri di kedai muzik merenung cover album dan memikirkan idea di sebalik cover album itu dan kini saya mengajar mereka tentang makna cover album Pearl Jam “No Code”, tanpa sebarang pertanyaan dari mereka. Kini jelas saya melihat segala kesilapan saya sewaktu sekolah dan sedang cuba sedaya upaya untuk meneruskan pengajian, saya pernah ditegur oleh Cikgu Sains yang tidak pernah mengajar saya umurnya sudah lewat 40-an namanya MISS Lau, katanya “Suatu hari kamu semua akan menyesal ketika kamu tidak lagi berpakaian uniform ini lagi.” Kakak saya sering peril saya “Dulu boleh belajar ko tak nak belajar.”Saya hanya mampu tunduk dan merenung nasib sendiri.
Akan tetapi semua ini tidak akan habis di sini dengan begitu sahaja kerana alam itu terlalu luas untuk kita belajar, diajar, dan mengajar.

Tuesday, June 15, 2010

Menanda Kertas


Saya menghabiskan cuti sekolah ini dengan menanda kertas perperiksaan semester pertama, ramai yang berbakat tetapi malas, ramai juga yang cuba sedaya-upaya sehingga saya pun terperanjat, ramai juga yang menghampakan saya, ramai yang tidak faham soalan, ada ke mencipta poster dia tampal rempah-ratus. Pening kepala saya dibuatnya. Keseluruhanya saya berpuasa hati kerana sekali lagi saya mendapati kelemahan saya sebagai seorang pendidik.


Sebahagian dari cuti ini saya sangat taksub dengan anime Full Metal Alchemist:Brotherhood. Teori kimia yang menawarkan pemulangan yang sama. Bermaksud jika kita inginkan sesuatu kita perlu mengorbankan sesuatu.


Selain itu saya sempat berlatih muzik dengan dua orang pelajar, nampak gaya hasilnya agak memuaskan dan sekarang ia telah membakar adrenaline saya.Yang paling utama saya ingin mengucapkan jutaan “Terima kasih” kepada semua yang mengambil berat dan terima kasih Ya Allah kerana masih mengizinkan aku menghirup udara dan mempunyai secebis akal.