Saturday, April 30, 2011

Basah atas basah

Di antara empat kelas tingkatan 2, kelas inilah yang paling disayangi. Jika saya marah mereka cuba memujuk, mereka pasti dapat mengesan jika saya sakit.

Tinggal dua minggu untuk peperiksaan penggal pertama dan ini merupakan bab terakhir, teknik basah atas basah. Dengan berbekalkan kertas watercolor yang dibeli sendiri saya menunjukkan magis yang dibantu oleh air yang banyak dan beberapa titik warna. Mereka kelihatan gembira dan kagum dengan hasilnya. Semoga mereka menggunakan teknik ini untuk menjawap soalan bukan cat air yang berwarna emas atau gliter.





























Temuduga 25 April 2010

Setiap empat tahun mencuba dan tidak sekalipun dipanggil untuk temuduga saya hampir berputus asa dan menerima hakikat untuk terus bekerja dan tidak menyambung belajar walapun perasaan mahu menuntut ilmu itu sangat tinggi.

Beberapa tahun lepas saya terpaksa bekerja mengurangkan beban keluarga dan mencari ilmu di gerai mamak, cafe ib, pondok abang aris dan banyak lagi tempat yang seadaanya. Menuntut di Universiti of Life, semua yang lalu lalang merupakan pensyarah, tiada yuran dan tiada jadual waktu serta assignment yang perlu dihantar. Sesekali banyak yang dipelajari, sesekali langsung tidak belajar apa pun.

Alhamdullilah tahun ini saya dipanggil untuk temuduga dan walaupun badan tidak berapa sihat saya terpaksa meneruskan perjalanan bersama Fikri yang begitu berat hati untuk meninggalkan UITM. Saya terpaksa pergi ke klinik untuk memastikan suara saya akan kembali dan bersedia untuk temuga.

Pagi itu kami berdua sangat bersedia untuk melontarkan segala yang terbuku di dada. Lecturer itu bertanya "How desperate do you want to be here?" Saya menjawab dengan izin Allah. Kiranya saya diterima saya terpaksa meninggalkan segala benda yang saya ada, income tetap, bandar yang serba moden, semua ada, keluarga dam sahabat andai, pelajar-pelajar serta insan yang tersayang.

Saya menerima tawaran tersebut dengan hati yang rela, tetapi apabila saya bertemu dengan saya seorang Professor Madya yang mengenali saya melalui karya-karya saya, saya dimarahi dengan begitu ilmiah. Katanya saya akan menjadi tepu bersama orthodoks yang bakal menilai karya-karya saya. Banyak lagi teguran yang dilontarkan, saya menerima dengan senyum sinis, sesekali saya terfikir, dia tidak mengetahui keadaan saya dan nasib saya. Boleh jadi ini merupakan last resort saya. Setelah selesai berurusan dengannya saya beredar dan pulang ke bandar sesak bersama otak yang berpusing 360 darjah sambil melayan 1001 soalan yang belum saya jumpa jawapannya.

Saya mengakuri apa yang dilontarkan oleh Professor tersebut, tetapi saya perlu juga membuat kira-kira dan penelitian yang teliti agar saya juga tidak dibebani. Doakan agar saya berada di landasan yang betul menuju ke arah ilahi dan terus mendekati ke jalan yang benar.







































































































































Wednesday, April 20, 2011

Ujian Masa

Setiap manusia mempunyai masalah, kita diuji kerana Allah lebih menyayangi kita bandingkan dengan kafir yang hidup dan makan senang dengan duit haram. Dengan setiap ujian yang kita lalui pasti akan mematangkan kita.

Sepanjang saya melangkah ke alam mengajar, pelbagai dugaan saya lalui di antaranya pelajar berlatar belakang masalah keluarga dan pelajar yang terlalu manja. Ada pula pelajar-pelajar yang merantau ke negara kita dan liat sungguh untuk mempelajari bahasa ibunda kita. Soalan ini tidak boleh diketengahkan apabila sistem sekolah ini mengangkat Bahasa Jajahan sebagai bahasa utama dan bahasa ibunda sebagai bahasa kedua. Apabila saya mengajar bahasa ibunda saya menjadi sangat sentitif dan cepat terasa, apabila pelajar bersikap endah tak endah dengan bahasa ibunda.

Di antara mereka ada yang dipaksa merantau untuk pelajari sistem islamik, dan pelajar ini pula hanya badan di sini tetapi jasad di negara asalnya. Mak dan ayahnya pula sudah berpisah tambahan maknya kembali ke agama asalnya menambah beban kepada si anak perempuan sehingga dia sudah putus asa untuk berkahwin. Tahun ini pelajar tersebut akan menduduki peperiksaan penting, sedih sekali sehingga kini dia masih tidak boleh membaca dengan begitu fasih dalam bahasa melayu dan bahasa inggeris. Sepanjang saya belajar dan berkerja saya berupaya untuk mengawal emosi dan menyesuaikan diri dengan keadaan semasa. “Jangan campur aduk antara kerja di pejabat dan hal rumah tangga!” tetapi hari ini saya hilang sabar jawapan yang diberi sangat menguji kesabaran, lalu memarahinya sehingga menghalau keluar dari kelas. Biarkan kaum hawa ini dinasihati oleh kaumnya sendiri, saya sudah tidak mampu untuk menasihatinya. Kawan rapatnya juga dihalau kerana dia juga virus besar dalam kelas.

Kek, model kereta dan beberapa buah lukisan diterima, saya berkongsi hari lahir bersama dua orang pelajar tahfiz, ramai pelajar yang mengucapkan “Salam Harijadi”. Saya menerima sabagai tanda peringatan bahawa tali kehidupan saya semakin singkat. Petang saya merakam scene pertama untuk projek 'Kapsule Masa'. Seronok melihat mereka gembira tanpa menyedari akan barang yang dibuang merupakan faktor utama kecacatan serta ganguan dalam kehidupan mereka.

Setelah membeli tiket saya bermakan malam berserta kek sebagai pencuci mulut, ditemani peminat setia. Usia saya semakin meningkat tetapi ujian demi ujian masih perlu dilalui, tanpa mengetahui satu zahar pun yang menanti.






























































Sunday, April 17, 2011

Ego Lelaki

Biasanya seorang anak lelaki akan mewarisi segala atau separuh daripada perangai ayahnya. Di antara perangai yang cukup menyakiti hati seorang perempuan adalah ego lelaki yang susah benar hendak mengalah.

Sejak kecik saya memerhatikan ego ayah saya yang jarang mendengar nasihat ibu saya, dan disebabkan tidak tahan dengan perangai ayah, mak saya mengambil keputusan untuk berpisah dengannya. Sejak itu juga saya bernekad untuk menjaga ibu agar tiada villain yang akan menyentuhnya dan sejak itu juga saya tidak mahu mewarisi satu pun perangai buruk ayah saya. Rakan-rakan ayah pernah memberitahu saya bahawa ayah saya rajin membaca dan disebabkan itu dia petah berhujah dan disegani.

Jika di bangku sekolah saya sentiasa bersedih kerana ibu-bapa saya jarang ke sekolah untuk mengambil report kad tetapi kini saya tidak menyalahkan sesiapa kerana semua perkara yang terjadi mendewasakan saya sekaligus mengizinkan saya melihat semua perkara dari sudut yang berbeza seperti agama, dunia dan akhirat.

Kami bersembang dan makan tengahari bersama ibu saya, didapati apa yang diingininya hanyalah agar saya selalu pulang makan dan menghabiskan masa bersamanya. Sebenarnya ada sebab mengapa saya jarang pulang namun susah sangatkah untuk memenuhi hajatnya.? Sehingga kini saya tidak mampu memberi ibu hidup dengan selesa, senang dan gembira. Gaji bulanan tidak cukup untuk diri sendiri, tiada kereta, tiada rumah dan tiada harta, saya belum pun menjadi manusia tambahan saya masih belum melangkah ke hadapan masih tersangkut di pertengahan.

Semoga saya mampu membunuh ego diri sendiri dan memenuhi hajat ibu.

Thursday, April 7, 2011

Hampa

Sewaktu kecil sering memberi perhatian di dalam kelas dan rajin membuat kerja sekolah kerana itu merupakana tanggungjawab sebagai seorang pelajar, tambahan ketika bersekolah di sekolah rendah cina, disiplin yang diaplikasikan sangat ketat dan kami dididik seperti komunis. Perasaan malu akan timbul apabila didenda dihadapan Ah Moi-Ah Moi yang memberi senyuman sinis. Ini mendidik saya untuk terus cekal dan aktif di dalam kelas, namun di bangku sekolah menengah saya mula menyedari kelebihan saya bukan di dalam kelas tetapi di luar kelas. Sejak itu saya kembali berkhayal, kembali ke zaman kanak-kanak. Setiap hari saya mempunyai 1001 cerita yang dicipta dan direka di kotak pemikiran, maka angan-angan untuk menjadi seorang pewira muncul setiap masa dengan segala kuasa-kuasa dalaman.

Tingkatan tiga merupakan tahun hati saya mula terbuka dengan islam selepas melalui satu cubaan yang begitu besar dalam kehidupan saya, saya kehilngan dua orang tersayang yang tidak akan kembali ke muka bumi, kerana terpaksa menerima hakikat ini saya diberi lagi ujian dan terus mendapat hidayah menerusi penulis-penulis lirik yang diberi ilham untuk menulis dengan penuh agenda sulit seperti agenda agama, perang, sosial-politik dan kisah kehidupan mereka yang berjaya mengubah kisah hidup saya, ketika menjaga basikal kawan saya di luar masjid pada setiap khutbaah jumaat sedikit demi sedikit cenderungan minat ke arah agam islam berjaya mengubah corak kehidupan saya.

Tahun ini saya bernekad untuk berkongsi kisah ini bersama pelajar tingkatan tiga yang rata-rata dilahirkan islam dan saban hari terus hidup di lingkaran islam moden yang dijajah dan dihasuti agar muslim melupakan kewajibannya, untuk mengingatkan diri saya dan pelajar-pelajar ini saya cuba mengajak mereka berfikir dan cuba mengajar mereka sesuatu di luar kotak pemikiran dan di luar sylibus pendidikan. Mereka menerimanya dengan penuh kejutan, seronok dan sekaligus mengajak mereka ke satu lagi dimensi dunia. Minggu demi minggu saya menyuap mereka dengan clip-clip video agenda dunia, rancangan puak yang sentiasa menyesatkan kaum islam dan serba sedikit tentang teori media serta penulis skrip dan papan cerita.

Selesai sesis kritik bersama tingkatan tiga, hasilnya ramai di kalangan pelajar ini memilih untuk tidak berfikir dan mengambil mudah, batasan umur dan masih belum matang menjadi alasan utama tetapi walaupun mereka masih muda faktor persekitran, pergaulan, bahan bacaan, filem serta muzik yang didengari menjadi pengaruh utama gaya pemikiran mereka. Ramai yang enggan mencabar diri sendiri untuk ke tahap extreme atau ke tahap yang seterusnya, ramai yang putus asa, ramai yang tidak ingin mencuba dan ramai juga yang ingin terus disuap, tetapi ada di antara mereka yang berada di skala luar keupayaan usia mereka.

Pelajar sekolah dididik untuk menulis dengan gaya linear, terus menulis permulaan cerita, conflict, climax dan kesudahan cerita, saya cuba untuk membuka minda mereka tetapi mereka lebih gemar untuk merujuk kepada kamus atau buku teks untuk mendapat jawapan dan ada pula virus-virus yang menggangu mood kelas sehingga menjejaskan mood saya sendiri.

Adakah tanggungjawab saya untuk membuat mereka minat kepada seni? Adakah tanggungjawab saya untuk memberi mereka kesedaran terhadap watak yang perlu mereka hayati? Adakah tanggungjawab saya untuk membuka mata hati dan tidak lagi melihat dengan mata kasar yang sentiasa menipu setiap manusia?

Kehampaan ini bukan pada pelajar tetapi pada diri sendiri yang lemah dan lalai untuk memantapkan dan menajamkan minda yang semakin tumpul ini.