Sunday, August 28, 2011

Rawatan Radioterapy

Sukarnya untuk menghadapi sesuatu yang tak disangka-sangka terjadi, tetapi hakikat dan kehendak Qadaq dan Qadar Nya yang menentukan. Aku telah di diagnosis sebagai positif kanser thyroid. Ianya tidak diketahui bermula pada bila. Namun seingat aku pada mula-mula melaksanakan pembedahan thyroid adalah pada Mac 2002 di WP Labuan. Kemudian aku menjalani lagi pembedahan di HKL pada 2006, 2007 dan 2008. Kemudian aku menjalani Chemotherapy pada 2009 dan terkini pada 2010 aku menjalani Radiotherapy pada Feb hingga Mac 2010. Ianya penuh dengan dugaan yang mencabar. Kepayahan dan kegetiran terpaksa aku harung demi keluarga, anak-anak dan sahabat handai. Semuanya seakan faham dan mengerti apa yang sedang aku alami. Tetapi itulah hakikat yang harus diterima. Ianya adalah Qadaq dan Qadar yang harus diyakini sebagai seorang Islam. Namun sebagai manusia yang sentiasa dalam kelemahan dan pembentukan keimanan semua ini adalah sebagai satu ujian yang harus ditempuhi dan diharungi. Banyak perkara yang aku sendiri terpaksa merujuk kepada hakikat dan ketakwaan kepada Allah SWT. Hakikat berubat menerusi Al-Quran juga terpaksa aku selidiki dan menumpang pengalaman dari orang berkaitan dengan ilmu perubatan islam. Sedikit sebanyak aku telah mengorak langkah akan keberkesanan perubatan islam adalah salah satu cabang dan sewajarnya dalam ilmu perubatan. Setakat ini aku telah semakin beransur pulih dengan mengamalkan beberapa ayat dari Al Quran yang dibaca bagi mengurangkan risiko kanser yang aku cuba lawan dari terus merebak. Doa dari orang tua, isteri, anak-anak, adik beradik, sahabat dan rakan sedikit sebanyak telah memberikan semangat yang berguna untuk aku meneruskan kehidupan yang sementara ini. Semoga dengan usaha dan doa dari semua yang mengenali akan membolahkan aku terus berusaha untuk melawani penyakit ini.

Catatan Almarhum Samsol Aziz,
29 Mei 2010

Penyusunan Plot

Plot sering bersangkut paut dengan apa yang bakal berlaku, telah berlaku secara linear atau narratif. Bercorak, urutan, bersebab dan akibat atau secara kebetulan. Setiap perubahan plot dirancang secara teliti agar kesan, punca, akibat dan kesudahanya meninggalkan kesan yang mendalam.

Bagi yang meneliti dan menghayati perubahan plot pasti terasa perit, manis perubahan tersebut. Ada kalanya tidak disedari, ada kalanya perubahan tersebut secara sengaja, tidak sengaja, namun sebagai seorang islam kita wajib percaya setiap perubahan plot itu telah ditetapkan.

Penyusunan plot ini sering digunakan untuk menulis skrip, drama, filem, lagu dan bermacam jenis penceritaan. Ada yang sangat teliti dengan penyusanan plot ada yang mengambil sambil lewa.

Ketika saya leka dan langsung tidak menghiraukan perubahan yang bakal menjelma kerana asyik dengan teman yang menemani ke sani ke mari, saya terlupa yang saya bakal meninggalkan segala yang saya punyai sementara ini (zon selesa) dan meneruskan perjuangan. Perubahan plot kali ini berubah sebaik sahaja Almarhum Samsol Aziz yang sudah lama sakit meninggal dunia pada 28 Ogos 2011.
Keperitan perlu dilalui oleh 2 orang anak dan isteri tersayang, perubahan ini menjanjikan seribu satu kebaikan dan keburukan yang perlu dihadapi secara positif. Alhamdulliah adiknya sanggup berkorban dan membantu mengurangkan beban kakaknya dengan berpindah dan mencurahkan kasih sayang kepada 2 orang anak buahnya itu.

Plot kali ini menguji saya untuk melalui keperitan seseorang ketika saya berada jauh dan sibuk dengan rutin harian tanpa berada disisinya. Terasa kosong dan hari-hari bersendiri menanti dengan bisikan, teguran qarin yang sentiasa bersembang dan tidak lupa dengan godaan syaitan.

Selepas memahami keperitan ini, saya akan cuba sedaya upaya untuk tidak memeritkan
lagi keadaan dengan memberi sokongan dan menerima setiap perubahan ini.

Tiada siapa dapat mengalahkan penyusunan plot oleh Yang Maha Esa.



Friday, August 26, 2011

Catatan Terakhir Seorang Ustaz Seni


Hampir setahun lapan bulan saya bergelar seorang ustaz, mengajar pendidikan seni visual di sebuah sekolah islam swasta berdekatan dengan kawasan rumah.

Sewaktu tahun pertama saya tidak dapat menggambarkan bagaimana situasi mengajar dan bagaimana sikap pelajar, gambaran saya menyakinkan seperti sessi penjelasan karya yang serba sedikit pernah saya lalui. Minggu pertama cukup gembira dan terhibur kerana pelajar gemar nama saya dengan ejaan Coolman (orang sejuk).

Mengajar tingkatan satu hingga tiga, medium KBSR dan JHSA, selepas mengajar asas utama seni iaitu garisan, saya cuba sedaya upaya untuk memastikan pelajaran yang hendak disampaikan jelas dan mudah difahami. Sedikit demi sedikit saya berubah teknik untuk menyerasikan diri dengan mentaliti pelajar dan proses try and error sering terjadi. Di sini saya mula memahami tahap pemikiran, keinginan, tahap radikal, protest, ingin tahun, kurang kasih sayang dan bermacam jenis sindrom yang dilalui oleh pelajar tidak lupa yang sememangnya sudah berbakat.

Sekolah ini seolah-olah menjamin masa depan setiap pelajar dengan jaminan mengajar ilmu akhirat dan dunia, subjek agama seperti tajwid, serah dan al-quran sangat ditekankan, subjek asas dari Bahasa hingga ilmu hisab, sains dan komputer juga sama penting. Walau bagaimanapun kemudahan sekolah ini agak kurang, berbekalkan sebuah gelangang yang perlu dikongsi bersama sekolah rendah dan lelaki perempuan, perlulah sangat bersabar untuk menggunakan kemudahan tertentu.

Setelah mendapat dan memahami rentak mengajar, tinggal pengurusan kelas perlu dibaiki, Gambaran saya menyakinkan bahawa kelas seni bukan seperti subjek lain yang memerlukan pelajar mendengar dan fokus, namun disebabkan kelas saya hanya 35 minit jadi pelajar lebih gemar bersantai dan membuat kerja apabila ada mood.

Sebagai seorang guru sudah pasti terikat dengan aktiviti sekolah seperti hari sukan, badan beruniform dan kelab serta lain-lain majlis. Adakalanya perlu bekerja lebih masa namun tiada bayaran khas, tetapi lebih kepada konsep ikhlas mendidik kerana Allah.

Selepas setahun mengajar asas dan prinsip seni, tahun kedua lebih menarik, apabila saya mengenalkan pemahaman simbolik dalam karya dan lebih menumpukan kepada video daripada melukis. Pelajar tingkatan 3 mula fokus dan menanti kehadiran saya yang hanya diberi peluang sekali seminggu dan hanya 35 minit. Sesekali terasa seperti kelas saya hanya sekadar mengawal jiwa yang tertekan dengan subjek-subjek lain, tetapi saya mengambil kesempatan ini untuk membuat eksprimen seperti melukis bertemakan emosi, kajian sejarah remaja dan pemahaman simbol dalam video.

Dengan sokongan yang diberi oleh beberapa pihak, projek video ini bermula dengan pelbagai dugaan, dateline dan idea untuk mengendalikannya. Alhamdulliah projek ini berjaya dan diterima oleh pelajar tingkatan 3 dengan pelbagai cabaran, pelajar tingakatn 2 pula menghasilkan penceritaan dengan menggunakan kaedah visual. Bertungkus-lumus mereka menyiapkannya sehinga ke titisan peluh terakhir.

Banyak yang saya pelajari daripada pelajar-pelajar, adakala terasa sangat kagum dengan sikap mereka yang sepatutnya diteladani. Sepanjang saya di sini saya hanya menjadi kawan baik mereka dan rasa tidak banyak mencurahkan ilmu pun. Walau bagaimanapun saya doakan yang terbaik untuk mereka dunia dan akhirat.

Selepas ini tiada lagi catatan mengenai ragam pelajar, ragam sekolah dan aktiviti guru. Akan bermulalah saya plot baru dalam hidup saya.
Nantikan…



















Tuesday, August 16, 2011

Catatan Ramadan 1431 Hijrah

Seperti biasa saya bersahur roti, buah kurma dan segelas air, terasa khasiat buah kurma sampai ke petang. Separuh Ramadan dihabiskan bersama teman-teman di sekolah dan pelajar tahfiz kami berbuka alah kadar dan tarawih bersama. Geng tahfiz tahun lepas sudah pun mula pengajian di KUIZ, ketiadaan mereka dirasai,gurau senda dan lawak selekeh mereka terbayang-bayang.

Juadah berbuka jarang saya hiraukan, makan apa yang ada dan terus mengejar pahala solat. Lauk semalam cukup istimewa, serba cukup, sedap dan cukup sederhana. Saya cukup terharu dan bersyukur kerana ada yang sudi memasak dengan penuh kasih sayang dan sudi berkongsi dan berbuka bersama.

Sepanjang bulan ini juga pelajar mula hilang fokus, mungkin menunjuk perasaan kerana saya bakal meninggalkan mereka. Biasala lumrah kehidupan, ada yang datang dan ada juga yang akan pergi. Sedih, kerana mereka tidak pandai mengambil kesempatan untuk bertanya nasihat terakhir, masih berdarah protes atas apa yang terjadi pada mereka.

Bulan ini cukup kerap mendengar orang bertadarus dan menyampaikan kuliah, terlintas niat untuk mengkhatam Quran, maka usaha perlu lipat ganda untuk mempelajari ilmu ini.

May Allah Forgive You.