Monday, October 22, 2012

Mimpi-mimpi


Kebelakangan ini cuaca mengalakkan diri terus lena dibuai mimpi, menetap di pulau cuaca tidak menentu, tambahan hujannya pula berpanjangan. Selimut memberikan bisikan manja untuk meneruskan mimpi-mimpi yang indah, dan setiap mimpi tersebut tidak pernah selesai, entah dari mana datang mimpi-mimpi tersebut?

Ke mana arah tuju mimpi-mimpi tersebut? Sekiranya saya mengetahui jawapan mungkin saya tidak lagi tenggelam ke dalam mimpi-mimpi tersebut, Namun sedihnya jika diceritakan bahawa mimpi-mimpi tersebut membawa lari segala inspirasi untuk bangkit dari buaian mimpi tempoh hari, semalam dan minggu lepas.

Ketika saya mencari semua sudut-sudut inspirasi entah ke mana hilangnya sudut tersebut? Tiada di tengah-tengah lagu, di dalam filem mahupun di dalam coretan buku-buku.  Sebahagian daripada sifat lama hilang entah ke mana?

Tenggelam ke daras mimpi namun imej terakhir yang sentiasa muncul adalah seekor gagak yang mematuk kepala saya dan saya akan bangkit dan menulis sebaris ayat yang tidak memberi makna, tidak pernah dilalui, tidak memberi sebarang memori mahupun memberi sebarang informasi. Dari mana datang kesemua mimpi-mimpi dan coretan ayat? Saya rasa syaitan sedang berusah keras untuk membuai saya ke alam mimpi.

Mendengar: Jerry Cantrell-My Song



Friday, October 12, 2012

Kuala Lumpur 6 Oktober 2012

Setiap dari kita mempunyai tujuan yang berbeza di bandar metropolitan ini, menagih simpati untuk sesuap hari, mencari rezeki halal, memperjuangkan idealogi tersendiri, mencari jodoh, mencari mangsa, atau melaksanakan agenda tersembunyi.

Berbeza dengan saya yang pulang untuk menemui ibu dan tunang tersayang, bagi saya Kuala Lumpur mempunyai nilai astetika yang sangat tinggi. Bandar ini mendidik dan mendewasakan saya, setiap lorong di sini menjadi saksi tumbesaran menuju ke setiap frasa dalam kehidupan saya. Jika dahulu saya mengira detik untuk ke tempat kerja, berazam untuk melanjutkan pelajar dan bercita-cita untuk menghasilkan filem atau bermain di Rock Show untuk menyampaikan kisah tersendiri, tetapi kini Kuala Lumpur hanya sekadar waktu persinggahan sementara, membeli barangan yang patut, melawat kawan dan akhirya kembali di perut Kuala Lumpur untuk pulang ke bilik di Universiti yang menjanjikan tugasan tertangguh.

Pudu Central sudah kehilangan kutu-kutunya, Central Market sudah kehilangan pelukis-pelukisnya dan pemuzik jalananya, Petaling Street sudah kehilangan penjajah murahanya, jalan Silang dibanjiri rakyat Bangla, Burma dan Nepal, anda akan terasa berada di negara lain jika melalui jalan tersebut. Kuala Lumpur dibanjiri Wak Indo, Pak Arab, Negro, Filipino dan pelbagai pelancong dari luar negara, kerana semua mudah didapati di Kuala Lumpur, makanan halal, hotel budget, barangan tempatan dan juga import.

Apakah yang menbuat bandar ini ke tahap ini? Apakah perbezaan Kuala Lumpur dengan Tokyo, New York, Paris? Globalisasi berjaya menyamakan setiap bandar di dunia mempunyai restoran makanan siap saji, pengangkutan serba laju dan pusat membeli-belah. Pandangan masyarakat pula begitu penting berbanding dengan kata hati atau keinginan sendiri. Kerja, kereta, pencen dan pelbagai skim kemudahan begitu penting, tanpa menghayati sesaat udara percuma yang dihirup.

Adakah sekadar itu sahaja jangka hayat kita? Sekolah>Belajar>Kerja>Makan Gaji>Mati. Mudahnya kehidupan manusia, untuk memenuhi syarat pekerjaan, berambut kemas, berkemeja, berkasut kulit, makan di tempat esklusif bersama orang setaraf. Setiap dari kita berusaha keras agar dapat diterima masyarakat ini, setiap dari kita berubah demi diterima masyarakat ini, dan setiap dari kita mengalah apabila masyarakat ini memberi arahan? Sekarang siapa yang mengawal diri kita? Tuhan atau masyarakat? Sekarang siapa hamba benda?siapa sujud kepada dunia?

Bagaimana pula dengan pandangan dan kehendak keluarga?Mak?Isteri?Anak? Nampaknya pandangan masyarakat lebih penting daripada semua. Terima kasih masyarakat, sedang saya sendiri mengatur langkah sendiri, agar kita berjumpa satu hari nanti.

Mendengar;Eddie Vedder-Society


Dr Zakir Naik Malaysian Tour